Tuesday, July 17, 2012

umrah- part 2 (posted on Mar 28, 2012)

Ketika lawatan di kawasan peperangan Uhud, ustaz yang mengiringi kami turut menunjukkan kawasan sebenar berlaku peperangan. Kami berdiri diatas Jabal Rumah atau Bukit Pemanah, dimana sesiapa yang berjaya menawan bukit tersebut akan menguasai peperangan. Di bukit itulah berlakunya ujian daripada Allah kepada umat Islam, dimana sedikit salah faham oleh pasukan pemanag dalam menerima arahan Rasulullah telah membuka peluang kepada Khalid al-Walid mengacau-bilaukan tentera umat Islam. Bukit Pemanah yang ada sekarang kelihatan kecil, sudah diratakan sedikit oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengelakkan perkara-perkara khurafat.

Kami juga diingatkan tentang kepentingan melakukan solat jenazah, di mana pada setiap kali selepas sembahyang fardu di Masjid Nabawi pasti akan ada seruan untuk bersolat ke atas mayat wanita/lelaki/kanak-kanak.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan Bukit Uhud. (H.R. Muslim)

Berdiri gagah dibelakang kami adalah banjaran Uhud yang merupakan pasak utama bagi bumi Madinah. Dan mana mungkin dapat ditolak kehebatan ganjaran solat jenazah kalau pahalanya sebesar bukit Uhud itu? Memang seronok mendengar ustaz bercerita dengan suasana dan tempat yang dapat dikaitkan dihadapan mata kami sendiri.

Ladang kurma Saidina Uthman juga ada kisah yang tersendiri. Di ladang tersebut terdapat sebuah telaga yang pada mulanya milik orang Yahudi. Saidina Uthman telah membeli telaga tersebut dan diwakafkan untuk kegunaan kaum Muslimin, dan telaga tersebut masih boleh digunakan sehingga ke hari ini! Subhanallah, betapa banyak pahala saidina Uthman yang mengalir walaupun telah bertahun-tahun meninggal dunia. Itulah pentingnya untuk berfikir tentang pelaburan akhirat yang pasti akan menguntungkan kita.

Masjid Nabawi sangat damai. Suasana petangnya sangat menyeronokkan, kerana kita boleh lihat ramai orang duduk-duduk dan bersantai di perkarangan masjid bersama keluarga masing-masing. Seperti sebuah taman yang luas :D . 3 hari di Madinah sangat singkat bagi aku. Disini jugalah kita mula membiasakan diri dengan kehebatan pak-pak arab dan petugas-petugas perempuan berbahasa 'Malayu' :P

Madinah aku tinggalkan dengan linangan air mata ketika solat Dhuha, dengan penuh pengharapan agar Allah perkenankan aku untuk berada disini lagi satu hari nanti. Kami membuat ziarah wida' di kawasan Maqam Rasulullah s.a.w, dan bersiap-siap untuk berniat ihram nanti dalam perjalanan ke Mekah.

Dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW telah bersabda Sesiapa yang mampu/dapat mati di Madinah, hendaklah dia berusaha ke arah itu, sesungguhnya Aku menjadi saksi sesiapa yang mati di sana (Madinah). Hadis riwayat Muslim.
Macam mana untuk menjadikan diri aku 'mampu' mati di Madinah? Perlu belajar, berpindah dan menetap disana mungkin? ;) Sangat cemburu mengenangkan jenazah-jenazah yang mendapat peluang disembahyangkan oleh begitu ramai jemaah dan dikebumikan di perkuburan Baqi'.

No comments:

Post a Comment